Klik 'Play'

Thursday, October 29, 2009

Wanita

Cantiknya seorang wanita itu sebagai GADIS,
Bukan kerana merah kilauan lipstick,
Pada bibir memekar senyuman kosmetik,
Tetapi pada keperibadian terpelihara,
Kelembutan kesopanan menghiasi jiwa.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai REMAJA,
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah,
Untuk menggoda pandangan nafsu mata,
Tetapi pada kehidupan terjaga,
Dari menjadi mangsa tohmahan dunia.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai HAWA,
Tidak kerana bijak meruntun iman kaum Adam,
Sehingga turunkan insan ke dunia,
Tetapi menjadi pembakar semangat perwira,
Menjadi tunjang perjuangan syuhada',

Cantiknya seorang wanita itu sebagai ANAK,
Tidak menjerat diri ke lembah kedurhakaan,
Mengalir mutiara di kelopak mata,
Tetapi menjadi penyelamat ibu bapa,
Pada hari kebangkitan semula.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai ISTERI,
Bukan kerana peneraju kerjaya dalam rumahtangga,
Tetapi sentiasa bersama,
Menempuh badai di sisi suami tercinta.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MENANTU,
Bukan kerana kemewahan di mata,
Tetapi bijak dalam menjauhi persengketaan ipar,
Menjadi penghibur permata keluarga.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai IBU,
Bukan terletak pada kebangkitan anak,
Dalam setiap pertelingkahan,
Tetapi di bawah lembanyung kejayaan,
Membuai anak di kala suami menjalin impian.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MERTUA,
Tidak kerana berjaya meruntuh istana,
Tetapi jalinan kasih sayang,
Tulus hati mengagih kasih setara kepada semua.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai NENEK,
Bukan memberi harta dunia,
Sehingga generasi lupa,
Tetapi menjadi pendita,
Menjaring teladan para anbia pada anak bangsa.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai WARGANEGARA,
Bukan kerana menyandang puncak dunia,
Tetapi bijak menangkis rintangan,
Peka membela nasib dan maruah negara,
Menjadi tulang belakang keteguhan semua.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai INTELEKTUALIS.
Bukan kerana menjadi sebutan,
Sehingga menjulang keegoan,
Tetapi mencari ilmu,
Menyala obor mewangi setanggi profesionalis.

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MUSLIMAH,
Bukan kerana keindahan paras rupa,
Sehingga menjadi igauan mata,
Tetapi berpegang pada Akidah Solehah,
Di sebalik tirai jiwa,
Menganyam rindu kekasih pasrah di atas sejadah,
Mengharap keredhaan kehidupan awana.

No comments:

Post a Comment